Spread the love

Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), telah berjaya melabuhkan tirai Indonesia Roadshow 2026 di Surabaya dan Jakarta, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi Acara Perniagaan di samping mempererat kerjasama industri dengan pasaran Indonesia.

Sebagai salah satu pasaran sumber utama Acara Perniagaan bagi Malaysia, Indonesia terus menawarkan potensi pertumbuhan yang kukuh, didorong oleh kedudukan geografi yang berdekatan, kesalinghubungan udara yang sangat baik, hubungan perniagaan yang telah lama terjalin serta persamaan budaya yang erat. Jelajah promosi ini menghimpunkan 20 rakan industri Malaysia bersama agensi pelancongan Indonesia, perancang mesyuarat korporat, syarikat pengendali insentif serta pemegang taruh utama Acara Perniagaan bagi memupuk kerjasama baharu dan menjana peluang perniagaan pada masa hadapan.

Program ini menampilkan siri pertemuan perniagaan-ke-perniagaan (B2B), sesi rangkaian dan pembentangan destinasi, yang memberi peluang kepada pempamer Malaysia untuk mengetengahkan tempat acara bertaraf dunia, kepelbagaian pengalaman destinasi, kesalinghubungan yang lancar serta perkhidmatan sokongan menyeluruh negara bagi Acara Perniagaan, merangkumi mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran.

“Indonesia kekal sebagai salah satu pasaran Acara Perniagaan terpenting bagi Malaysia, dan usaha memperkukuh hubungan dengan rakan industri di negara ini merupakan antara keutamaan MyCEB. Menerusi jelajah promosi ini, kami menegaskan semula komitmen untuk mempererat kerjasama, membuka peluang perniagaan baharu serta mengetengahkan kelebihan Malaysia sebagai destinasi Acara Perniagaan bertaraf dunia. Selain memiliki infrastruktur dan tempat acara yang cemerlang, Malaysia turut menawarkan sokongan menyeluruh kepada penganjur, kepelbagaian pengalaman serta layanan mesra yang menjadi keistimewaan negara, sekali gus menjadikan setiap acara suatu pengalaman yang benar-benar bermakna,” kata Tan Mei Phing, Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB.

Jelajah promosi ini turut menjadi platform bernilai untuk menjalinkan semula hubungan dengan rakan industri yang telah lama bekerjasama, di samping membina hubungan baharu yang akan menyokong pertumbuhan perniagaan mampan. Seiring perjalanan perniagaan serantau yang terus mendapat momentum, kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Indonesia dijangka dapat menjana lebih banyak Acara Perniagaan bernilai tinggi serta memperkukuh pertukaran perniagaan antara kedua-dua negara.

Dianjurkan bagi menyokong Visit Malaysia 2026 (VM2026), inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan pasaran antarabangsa MyCEB yang berterusan untuk menarik lebih

banyak mesyuarat, perjalanan insentif, persidangan dan pameran ke Malaysia. Acara Perniagaan kekal sebagai segmen pelancongan bernilai tinggi yang memberikan impak ekonomi yang signifikan menerusi peningkatan perbelanjaan pelawat, tempoh penginapan yang lebih panjang serta manfaat yang lebih meluas kepada industri hospitaliti, pengangkutan, peruncitan, makanan dan minuman serta pelancongan.

Dengan Indonesia terus menjadi salah satu pasaran serantau utama Malaysia, MyCEB kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan pemegang taruh industri dalam menarik Acara Perniagaan berkualiti yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh kerjasama serantau serta meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi Acara Perniagaan terkemuka di Asia Tenggara.