Spread the love

Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), meneruskan komitmennya di Sabak Bernam menerusi pelaksanaan Program Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni MADANI) 2026 dengan memberi tumpuan kepada aspek kesihatan dan kesejahteraan warga emas.

Kehadiran MyCEB di Sabak Bernam pada kali ini merupakan kesinambungan daripada penglibatan terdahulu di bawah Program Santuni MADANI, sekali gus mencerminkan pendekatan MyCEB untuk terus kembali, mendekati dan menyantuni komuniti setempat secara berterusan. Program ini bukan sekadar inisiatif yang dilaksanakan sekali sahaja, sebaliknya merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang MyCEB untuk membina hubungan yang berkekalan dengan komuniti serta memahami keperluan mereka daripada semasa ke semasa.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, pendekatan berterusan ini turut menyokong usaha memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat serta memastikan manfaat pelaksanaan program dapat dirasai dengan lebih menyeluruh.

Bagi pelaksanaan tahun ini, MyCEB bekerjasama dengan Hospital ReGen Rehab bagi menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma serta sesi perkongsian dan pendidikan kesihatan kepada warga emas. Usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan, di samping menyokong kesejahteraan dan kualiti hidup warga emas.

Penglibatan berterusan MyCEB menerusi Program Santuni MADANI mencerminkan komitmen organisasi bukan sahaja untuk turun padang, tetapi juga untuk membina hubungan yang lebih erat dan berkekalan bersama komuniti.

MYCEB TERUS SANTUNI KOMUNITI SABAK BERNAM MENERUSI KOMITMEN JANGKA PANJANG SANTUNI MADANI 1

“Santuni MADANI bukanlah satu inisiatif yang bersifat sekali sahaja. Bagi MyCEB, program ini merupakan komitmen jangka panjang untuk terus mendekati, mendengar dan memahami keperluan komuniti. Kehadiran kami di Sabak Bernam pada hari ini adalah sebahagian daripada kesinambungan tersebut, dan kami mahu terus kembali serta memperkukuh hubungan yang telah dibina bersama masyarakat di sini,” kata Cik Tan Mei Phing.

Walaupun mandat utama MyCEB adalah untuk memperkukuh dan mempromosikan industri Acara Perniagaan (Business Events) Malaysia, organisasi ini turut komited untuk menyokong inisiatif kerajaan yang memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Warga emas merupakan sebahagian penting daripada masyarakat yang telah banyak menyumbang kepada keluarga, komuniti dan negara. Justeru, aspek kebajikan, kesihatan dan kesejahteraan mereka perlu terus diberi perhatian. Kami berharap usaha seperti ini bukan sahaja memberi manfaat pada hari program berlangsung, tetapi turut menjadi asas kepada hubungan yang terus diperkukuh bersama komuniti pada masa hadapan,” tambah beliau.

MyCEB turut merakamkan penghargaan kepada Hospital ReGen Rehab atas kerjasama dan perkongsian kepakaran dalam menjayakan program ini, serta kepada Pusat Aktiviti Warga Emas, Sabak Bernam atas sambutan dan sokongan yang diberikan.

Pelaksanaan Program Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni MADANI) 2026 di Sabak Bernam memperkukuh komitmen jangka panjang MyCEB untuk terus kembali dan menyantuni komuniti setempat secara berterusan. Pendekatan ini memastikan penglibatan MyCEB tidak terhenti selepas sesuatu program selesai, sebaliknya diteruskan melalui usaha membina hubungan, memahami keperluan masyarakat dan memberikan manfaat yang relevan.

MyCEB akan terus memainkan peranan dalam menyokong agenda kerajaan yang berorientasikan kesejahteraan rakyat, di samping memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.